SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali didesak menyatakan harga ditawarkan kerajaan negeri bagi mengambil alih Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) untuk mempercepatkan proses pembelian itu.
Anggota Dewan Undangan Negeri Permatang Datuk Sulaiman Abdul Razak daripada Barisan Nasional ((BN) yang membuat desakan itu berkata tindakan Mohamed Azmin yang cuba meletakkan kesalahan ke atas kerajaan Persekutuan berhubung kelewatan urusan pengambilalihan itu amat mengecewakan.
“Ketika disoal mengenai perkara ini di DUN (Dewan Undangan Negeri) menteri besar gagal kemuka jawapan sebaliknya berdolak-dalik dengan menyalahkan kerajaan Persekutuan tidak dedahkan nilai untuk ditawar kepada Splash seperti yang dicadangkan penilai bebas, Syarikat Deloitte.
“Penilaian oleh Deloitte hanya untuk rujukan kerajaan Persekutuan sahaja dan sepatutnya kerajaan negeri kena maklumkan harga ditawar untuk beli Splash kerana penstrukturan semula industri air dibuat bukan atas arahan kerajaan Persekutuan tetapi atas kehendak kerajaan negeri sebagai balasan meluluskan projek Langat 2,” katanya dalam sidang media di lobi DUN di sini, hari ini.
Menurutnya, dalam proses rundingan pengambilalihan itu, kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) hanya bertindak sebagai pemudahcara.-BERNAMA