Beberapa penduduk kampung berhampiran Jalan Lahar Yooi, Tasek Gelugor dilihat mengawal lalu lintas berikutan penduduk kampung tidak membenarkan orang awam untuk melalui kampung tersebut diwaktu malam sebagai langkah-langkah keselamatan dari berlaku kecurian. foto SAFWAN MANSOR, 08 NOVEMBER 2017

TASEK GELUGOR – Menyusuri Jalan Lahar Yooi untuk ke Bukit Mertajam, Pulau Pinang, tumpuan penulis terfokus kepada aktiviti sekumpulan anak muda sekitar kawasan itu yang mempunyai inisiatif sendiri bagi memastikan keselamatan penduduk sekitar terjamin.

Bagi Mohamad Firdaus Sulaiman, dia dan dua rakannya mengambil insiatif untuk membuat sekatan jalan di persimpangan Jalan Lahar Yooi ini bagi memastikan kenderaan orang awam selamat ketika melalui jalan tersebut.

“Air masih ada lagi, jadi kami ambil inisiatif sendiri untuk menjaga lalu lintas di sini. Lagipun lampu jalan masih tiada elektrik.

“Tujuan adakan sekatan ini untuk memberitahu pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati sebab air masih melintasi jalan di beberapa kawasan,” katanya yang berkawal sejak jam 7 petang bermula tragedi banjir besar pada Ahad lalu.

Malah katanya, ia juga sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan kenderaan mangsa banjir yang diletakkan di tepi-tepi jalan dilindungi daripada dicuri.

“Penduduk ada buat rungutan kenderaan berat seperti lori dan kenderaan pelbagai guna (SUV) kerap melalui jalan ini mengakibatkan kenderaan penduduk tempatan banyak yang rosak.

“Ada kenderaan yang tercalar disebabkan lori tergesel dengan kenderaan penduduk tempatan yang diletakkan di tepi jalan,” katanya lagi.

Jalan Lahar Yooi yang menghubungkan kawasan itu dengan Bukit Mertajam masih belum diterangi lampu jalan kerana bekalan elektrik terpaksa ditutup ekoran masih terdapat air banjir di kawasan terbabit. -MalaysiaGazette.