KUALA LUMPUR – Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan memberi jaminan tidak akan membenarkan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dilelong sekiranya penyewa tidak dapat membayar sewa bulanan.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, semua rumah PPR akan diwajibkan menjalani Skim sewa untuk beli (RTO) bagi membolehkan penyewa membeli rumah berkenaan selepas lima tahun.
“Saya beri jaminan kalau BN menang pada PRU-14 di Selangor, kita tidak akan benarkan rumah PPR dilelong, itu jaminan kita (BN).
“Ini kuasa kerajaan negeri-negeri, (Ahli Parlimen) Seputeh jangan marah, sebab kerajaan negeri nak ikut kita (BN) tapi dia tidak mampu nak ikut kita,” katanya ketika sesi penggulungan kementerian dalam perbahasan Bajet 2018 hari ini.
Jaminan itu diberikan Noh setelah timbul isu dimana rumah-rumah PPR kononnya dilelong kerana penyewa gagal membayar ansuran sewa bulanan.
Tambah Pengerusi BN Selangor itu, perbuatan melelong rumah PPR adalah satu tindakan zalim daripada pihak tertentu kerana ia menyimpang daripada niat sebenar rumah PPR dibina iaitu bagi menyediakan rumah kepada golongan miskin dan sederhana.
“Contoh di Kota Damansara, tanah kerajaan negeri tapi rumah itu KPKT yang buat, tapi bila kita nak ambil alih kita memang tidak boleh masuk dari segi undang-undang kerana tanah itu dimiliki oleh kerajaan negeri.
“Macam di Lembah Subang 1, tanah dan rumah milik kerajaan pusat, tapi kita tidak boleh ambil alih pengurusan, itu pun mendapat tentangan pihak kerajaan negeri,” katanya menjelaskan isu berkenaan. -MalaysiaGazette.