Anggota Polis menunjukkan jari yang dicelup dakwat kekal selepas membuang kertas undi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.06 Kuala Kubu Baharu di Maktab Polis Diraja Malaysia Kuala Kubu Bharu. Foto MOHD ADZLAN, 07 MEI 2024.

KUALA KUBU BAHARU – Pusat pengundian awal bagi Pilihan Raya  Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB), di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) mula dibuka jam 8 pagi tadi.

Seramai 625 anggota terdiri daripada pegawai dan lain-lain pangkat serta pasangan masing-masing akan mengundi di sini, hari ini.

Maktab PDRM adalah salah satu daripada dua pusat mengundi awal yang mempunyai tiga saluran.

Anggota polis mula beratur bagi menunaikan tanggungjawab masing-masing sebaik pintu pusat pengundian di sini dibuka.

Kedua-dua pusat mengundi awal ini akan ditutup jam 5 petang.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca baik di sebelah pagi pada hari pengundian manakala ribut petir pada sebelah petang.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

DUN Kuala Kubu Baharu memiliki sebanyak 40,226 pengundi berdaftar.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK ini, Sabtu depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast