Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (dua kanan) ketika menunjukkan bakat menulis kaligrafi semasa melawat pameran sempena pelancaran Fiesta Actyvate di IM4U Sentral, Puchong. foto FAREEZ FADZIL, 18 NOVEMBER 2017

PUCHONG – Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima baik lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor semalam, demikian menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang membuat kunjungan sehari selepas Najib di Hospital Kuala Lumpur ditemani isterinya Datin Seri Hamidah Khamis berkata, Anwar kelihatan selesa berdasarkan bahasa tubuh yang dipamerkan bekas Ketua Pembangkang itu.

“Dia seorang yang berjiwa besar untuk menerima kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib dan Datin Seri Rosmah dan saya dan isteri dengan hati besar.

“Saya tahu bahawa bahasa badan itu menerima kami dengan baik,” katanya kepada media selepas melancarkan ‘Fiesta Actyvate’ di iM4U Sentral Puchong.

Bekas Ketua Pemuda UMNO ketika Anwar memegang jawatan Timbalan Presiden itu hari ini membuat lawatan selepas sehari Najib dan Rosmah Mansor berbuat demikan.

Kedua-dua pasangan itu mengadakan lawatan ke atas Anwar dengan kehadiran Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata Anwar berjiwa besar dengan sudi menerima kunjungan Perdana Menteri dan beliau biarpun baru sahaja selesai menjalani pendedahan bahu kanan.

“Anwar berjiwa besar dan terima baik lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan saya.

“Saya tidak pernah merancang untuk melawat beliau. Tetapi saya terpanggil apabila Datuk Seri Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah melakukan ziarah,” katanya lagi.

Menteri Dalam Negeri itu turut berkata, beliau dan Najib telah mengenetepikan perbezaan politik diantara mereka berdua dengan pembangkang.

Kedua-dua pemimpin Barisan Nasional (BN) itu sebelum ini turun ke Pulau Pinang untuk meninjau perkembangan tragedi banjir di negeri itu awal bulan ini.

“Kita lihat sendiri apabila perdana menteri dan saya ke Pulau Pinang.

“Pada hemat saya, langkah-langkah untuk merasa simpati dengan seseorang yang ditimpa musibah dan mengalami kesakitan di bahu kanan dan apabila berlaku kemalangan pada kenderaan yang membawa beliau,” tambah Zahid.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid memberikan jaminan Anwar akan diberikan rawatan secukupnya.

“Pihak kerajaan telah bersetuju untuk Anwar memilih sesiapa sahaja doktor yang terbaik dan apa juga peralatan yang terbaik untuk digunakan dan rawatan selepas operasi.

“Itu adalah satu perkara yang dipinta oleh keluarga mereka dan saya akan bertemu dengan Kementerian Kesihatan dan Jabatan Penjara untuk memberikan rawatan pasca pembedahan sehingga beliau sembuh sepenuhnya,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast