Home Ekonomi Tiada kenaikan barang melampau di Lembah Klang

Tiada kenaikan barang melampau di Lembah Klang

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Setakat ini tiada aduan kenaikan harga barang-barang makanan mentah sehingga 300 peratus di Lembah Klang.

Meskipun, Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam mengakui beberapa jenis sayur-sayuran dan ikan mengalami kekurangan bekalan.

“Kekurangan ini disebabkan faktor logistik akibat banjir di kawasan tertentu dan cuaca tidak menentu sejak kebelakangan ini. Namun ia bukan masalah kerana pengguna masih ada pilihan dan ia tidak sampai ke tahap menjejaskan kehidupan.

“Apabila timbul isu logistik dan cuaca pengguna memang tidak boleh menyalah sesiapa,” kata Presiden CASSA, Datuk Dr. Jacob George.

Dr. Jacob George

Baru-baru ini, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mahu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan mengambil langkah segera menurunkan harga sayuran, buah-buahan dan ikan yang didakwa meningkat sehingga 300 peratus dalam tempoh seminggu.

Presiden CAP, S.M Mohamed Idris berkata, harga kacang bendi meningkat 100 peratus daripada RM6 sekilogram kepada RM12; kacang panjang meningkat 65 peratus daripada RM3.60 kepada RM6; sayur sawi daripada RM3.50 kepada RM6; kacang (RM3.50 kepada RM6); terung (RM1.80 kepada RM4.50); tomato (RM3.50 kepada RM5); daun bawang (RM3 kepada RM12) dan daun sup (RM3 kepada RM11).

George berkata, CASSA aktif mengadakan pemantauan di kedai-kedai termasuk pasar-pasar raya dan pusat beli-belah untuk melihat trend perubahan atau kenaikan harga barangan terutama menjelang cuti persekolahan dan perayaan Krismas serta Tahun Baru 2018.

Katanya, para pengguna bandar semakin bijak menggunakan talian-talian aduan bagi memaklumkan tentang kenaikan harga barang.

Menurut beliau, ia adalah perkembangan baik kerana dengan maklum balas pengguna, memudahkan CASSA dan KPDNKK bertindak.

“Tidak susah mana pun, pengguna hanya perlu memberi maklumat premis dan lokasi serta nama pengadu.

“Lagi terperinci maklumat yang diberikan, lagi segera penguatkuasa KPDNKK dan CASSA bertindak,” ujarnya. – MalaysiaGazette