Home Ekonomi FGV intai ladang baharu di Kalimantan

FGV intai ladang baharu di Kalimantan

Zakaria Arshad (tengah) bercakap kepada media pada taklimat keputusan kewangan FGV bagi suku ketiga tahun 2017, turut sama Ketua Pegawai Operasi Sektor Perladangan FGV, S. Palaniappan (kanan) dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan FGV, Ahmad Tifli Dato' Mohd Talha (kiri) di Menara FELDA, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 23 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Felda Global Ventures Berhad (FGV) sedang mengintai peluang untuk membeli ladang baharu yang belum dibangunkan di Kalimantan melalui hasil pelupusan saham dalam AXA Affin.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zakaria Arshad berkata, pihaknya sedang berbincang dengan pihak terbabit namun enggan mengulas lanjut.

“Pada dasarnya pelupusan saham AXA Affin itu sudah diluluskan dan dijangka selesai pada akhir tahun ini,” katanya pada sidang akhbar selepas mengumumkan prestasi kewangan suku ketiga FGV di sini.

Pada September lalu, Affin Holdings Bhd memaklumkan telah mendapat lampu hijau dari Bank Negara Malaysia untuk membeli 7.07 peratus kepentingan AXA Affin General Insurance Berhad daripada Felda Marketing Services Sdn Bhd pada harga RM99.09 juta dalam bentuk tunai.

Zakaria bagaimanapun berkata, jumlah jualan saham itu melebihi RM100 juta.

Dalam pada itu, FGV meramalkan harga minyak sawit mentah (MSM) lebih rendah antara RM2,500 hingga RM2,700 pada separuh pertama tahun depan.

Penurunan harga itu disebabkan oleh pemulihan pengeluaran kelapa sawit dan persaingan daripada minyak soya.

Katanya, pengeluaran tandan buah segar (FFB) juga dijangka lebih tinggi pada tahun depan kepada 4.85 juta metrik tan.

Mengenai kesan La Nina ke atas hasil ladang FGV, Zakaria berkata, kesannya adalah sedikit tidak seperti fenomena El Nino. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast