DOHA – Qatar mendedahkan rekaan yang didakwa stadium Piala dunia ‘guna semula’ yang pertama, dengan tujuh daripada lapan lokasi akan menggunakan konsep itu semasa kejohanan yang akan dianjurkan pada 2022.

Stadium Ras Abu Aboud dengan kapasiti 40,000 penonton akan dibina di selatan Doha dan menjadi gelanggang sehingga peringkat suku akhir.

Selepas kejohanan itu, stadium tersebut akan dileraikan, dengan komponennya dimasukkan ke dalam kontena dan dipasang semula di tempat lain, lapor AFP.

“Gelanggang ini menawarkan legasi yang sempurna, berkeupayaan dipasang semula keseluruhannya di lokasi baharu atau bina dengan beberapa (kemudahan) sukan yang kecil atau lokasi budaya,” kata Setiausaha Agung Jawatankuasa Penganjuran Piala dunia Qatar, Hassan al-Thawadi.

Antara bahan yang digunakan dalam pembinaan stadium itu ialah kontena kapal yang telah diubah suai, menurut kenyataan Thawadi’s Supreme Committee for Delivery & Legacy.

Pembinaan stadium itu perlu disiapkan menjelang 2020, kata jawatankuasa itu.

Arkiteknya ialah Fenwick Iribarren, syarikat yang berpangkalan di Madrid, juga dipilih untuk mereka gelanggang kejohanan lain, Stadium Qatar Foundation.

Qatar telah mendedahkan kesemua rekaan stadiumnya yang akan digunakan pada 2022 kecuali Stadium Lusail yang akan menjadi tuan rumah acara pembukaan dan perlawanan akhir Piala Dunia.

Walaupun pada awal bidaan, Qatar akan membina 12 buah stadium, kini perlawanan akan diadakan di lapan lokasi.

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) akan memberi kata putus bilangan stadium yang akan digunakan pada 2022.

Qatar dikritik mengenai hak asasi manusia dan penyalahgunaan tenaga buruh selain dakwaan rasuah.

Terbaharu negara itu didakwa menyokong keganasan yang merupakan sebahagian daripada pertelagahan membabitkan Doha dengan Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Mesir.

Thawadi berkata, kenyataan yang dikeluarkan semalam menyatakan krisis diplomatik tidak memberi ‘kesan’ terhadap persediaan Piala Dunia Qatar.

Kerajaan Qatar berkata, ia telah membelanjakan AS$500 juta seminggu dalam persiapan Pila Dunia.

Pada awal bulan ini, Menteri Kewangan, Ali Shareef al-Emadi memberitahu media tempatan bahawa 65 peratus projek Piala Dunia telah siap.

Pada awal tahun ini, Qatar mendedahkan venue Piala Dunia 2022, Stadium Antarabangsa Khalifa di Doha yang akan digunakan untuk Kejohanan Olahraga Dunia dua tahun lagi. – Agensi