Adam Adli

MELAKA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan melayan sebarang spekulasi berhubung insiden serangan menimpa tiga pemain bola sepak negara, sebaliknya memfokuskan usaha mempertingkatkan keselamatan atlet.

Timbalan menterinya, Adam Adli Abd Halim berkata, sebarang spekulasi ketika ini hanya akan mengeruhkan keadaan dan menyerahkan sepenuhnya siasatan mengesan pelaku kepada pihak polis.

“Kita tak nak tumpukan itu (spekulasi) sebaliknya yang pertama adalah mempertingkatkan aspek keselamatan (atlet) dalam acara-acara sukan.

“Semalam pun dalam pelancaran Piala Dunia Sepak Takraw 2024 (Majlis Pelancaran Jersi dan Pengenalan Skuad Sepak Takraw Kebangsaan), mereka ambil berat perkara ini (kerana) turut menjejaskan sukan-sukan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pra-Pelancaran Hari Belia Negara (HBN) di pekarangan Menara Taming Sari di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan pemain bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid diserang dan disamun individu tidak dikenali diikuti seorang lagi pemain, Faisal Halim yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di Petaling Jaya.

Kelmarin, bekas kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim pula menjadi mangsa jenayah selepas cermin belakang keretanya diketuk tukul besi sehingga pecah di Johor Bahru.

Mengulas lanjut, Adam berkata KBS memandang serius kejadian jenayah yang berlaku dalam sukan negara dan berharap semua pihak dapat mengambil iktibar kejadian terbabit. -MalaysiaGazette