Home Ekonomi Prestasi kewangan Al Hijrah kurang memuaskan

Prestasi kewangan Al Hijrah kurang memuaskan

KUALA LUMPUR – Prestasi kewangan stesen televisyen Al Hijrah (TVAH) adalah kurang memuaskan selepas merekodkan kerugian sebelum cukai bagi tiga tahun berturut-turut.

Pengauditan yang dijalankan pada bulan Oktober 2016 hingga bulan Februari 2017 dan disusuli pada bulan Mei 2017.

Laporan Ketua Audit Negara Pengurusan Syarikat Kerajaan Dan Agensi Kerajaan Persekutuan Tahun 2016 Siri 2 berkata, pengurusan akaun belum terima TVAH adalah kurang memuaskan kerana mengambil purata antara 107 hingga 256 hari untuk
mengutip hutang.

Amalan tadbir urus dan pengurusan kewangan TVAH juga kurang memuaskan kerana terdapat amalan yang tidak selaras dengan amalan tadbir urus terbaik, ketidakpatuhan prosedur kewangan dan prosedur perolehan syarikat.

Pengurusan aktiviti utama daripada aspek rating penonton dan pendapatan jualan masa siaran melibatkan dua bidang yang diaudit adalah kurang memuaskan.

Penemuan audit yang perlu diberi perhatian adalah seperti ringkasan berikut:

i. objektif TVAH untuk menjadi penyiar yang mendidik, menghibur dan menyatupadukan ummah adalah kurang berkesan kerana peratusan rating penonton yang rendah. Pendapatan jualan masa siaran sebenar juga masih tidak mencapai sasaran yang ditetapkan;

ii. prestasi penajaan adalah kurang memuaskan kerana secara keseluruhannya jumlah tajaan rancangan oleh penaja masih rendah;

iii. proses penilaian rancangan yang lemah telah menyebabkan penilaian perolehan rancangan baru dibuat dengan tidak konsisten, keberhasilan rancangan yang kurang berkualiti dan menarik, rancangan yang dibeli tidak dapat disiarkan dan wujud elemen pembaziran;

iv. pengurusan tunggakan penghutang jualan masa iklan kurang memuaskan kerana ketidakpatuhan kepada prosedur kewangan yang ditetapkan. Ini menyebabkan peningkatan hutang lapuk pada setiap tahun;

v. ketiadaan wakil ahli Lembaga Pengarah Bebas TVAH yang mempunyai latar belakang industri penyiaran memberi kesan kepada pelaksanaan aktiviti/program TVAH;

vi. peranan Audit Dalam tidak dilaksanakan sepanjang tahun 2016 hingga bulan April 2017 kerana Unit Audit Dalam telah dimansuhkan pada bulan Januari 2016. Unit Audit Dalam ditubuhkan kembali pada bulan April 2017; dan

vii. polisi dan prosedur berkaitan aktiviti jualan masa siaran dan pengurusan aset tidak disediakan manakala prosedur perolehan rancangan adalah tidak lengkap.

Selain itu, KPI TVAH tahun 2016 tidak dibentangkan kepada Lembaga Pengarah.

Bagi memastikan TVAH memenuhi tujuan penubuhannya, adalah disyorkan pihak pengurusan dan Lembaga Pengarah TVAH memberi pertimbangan terhadap perkara berikut:

  1. melaksanakan strategi dan pelan tindakan yang lebih agresif bagi meningkatkan lagi rating penonton dan pendapatan jualan masa siaran. Ini bagi mengurangkan kebergantungan yang tinggi kepada geran kerajaan;

  2. mewujudkan Standard Operating Procedures yang menyeluruh dalam perolehan rancangan baru supaya mendapat nilai terbaik daripada perbelanjaan
    yang dibuat;

  3. mewujudkan pematuhan dan penguatkuasaan yang lebih berkesan dalam pengurusan penghutang dan hutang lapuk; dan

  4. melaksanakan amalan tadbir urus yang baik terutamanya daripada segi pemantauan Lembaga Pengarah, penyediaan Standard Operating Procedures bagi aktiviti utama syarikat, pencapaian KPI dan melaksanakan kawalan dalaman yang berkesan. – MalaysiaGazette