Hamidin Mohd. Amin.

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengesahkan naib juara Liga Super 2017, Pahang secara rasmi tidak akan mewakili Malaysia pada saingan Piala AFC 2018.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, ini kerana badan induk bola sepak negara itu, tidak menerima surat balasan atau sebarang maklum balas daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) untuk menyertai kejohanan berkenaan, sehingga tarikh yang ditetapkan, Khamis lepas.

Beliau berkata mengikut peraturan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), kekosongan slot ditinggalkan Pahang itu tidak boleh diisi oleh mana-mana pasukan lain.

“Oleh itu, juara Liga Super 2017, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan menjadi wakil tunggal Malaysia beraksi dalam pusingan kelayakan Liga Juara-Juara AFC 2018. Jika JDT gagal melayakkan diri ke saingan peringkat kumpulan, mereka akan secara automatik mendapat slot beraksi pada Piala AFC 2018.

“Bagaimanapun, andai JDT berjaya melangkah masuk ke saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC 2018, slot Piala AFC 2018 berkenaan akan diberikan kepada pasukan Selangor yang kini diletakkan dalam senarai menunggu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Majlis undian Liga Juara-Juara AFC 2018 dan Piala AFC 2018 akan berlangsung di AFC House, Bukit Jalil pada Rabu ini. -MalaysiaGazette