Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin bercakap kepada media pada Perasmian Perhimpunan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Pehimpunan Agung UMNO 2017 ke 71 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 05 DISEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO berikrar akan memastikan setiap amanah bagi menarik pengundi baharuĀ  menyokong Barisan Nasional (BN) digalas mereka sehingga berjaya.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, taklimat tertutup oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak memberi rangsangan kuat kepada sayap pemuda itu melipatgandakan gerak kerja di semua peringkat.

“Tugasan kita sudah ada. Kita ada 1.3 juta pengundi muda Melayu. Ini yang menjadi fokus Pemuda UMNO.

“Naib Presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) juga sudah memberi tugasan kepada sayap dan ia akan dilaksana secepat mungkin dan tidak ada usaha untuk melengah-lengahkan tindakan kita,” katanya.

Khairy berkata demikian ketika ditemui selepas tamat Perasmian tiga sayap UMNO, Wanita, Pemuda dan Puteri malam ini.

Khairy yang juga Pengerusi Pemuda Barisan Nasional menjelaskan, ucapan Ahmad Zahid yang mengetengahkan Lembayung Arjana Bangsa memberi gambaran sebenar kepada imej keterangkuman bangsa Melayu.

“Ucapan beliau cukup bermakna dan merangkumi harapan pengundi Melayu secara keseluruhannya terhadap UMNO,” katanya.

Mengulas mesej Presiden UMNO petang tadi mengenai beri peluang kepada calon muka baharu dalam PRU-14, Khairy menyifatkan ia satu petanda positif. – MalaysiaGazette