SINGAPURA – Harga minyak susut hari ini selepas inventori produk penapis di Amerika Syarikat meningkat, menggambarkan permintaan kurang memberangsangkan.

Niaga hadapan minyak Amerika Syarikat, West Texas Intermediate didagangkan pada AS$57.37 setong, susut AS$0.25 daripada hari penutup akhir. Manakala penanda aras minyak dunia, Brent jatuh sebanyak AS$0.24 kepada AS$62.62.

Peniaga berkata, harga yang lebih rendah selepas laporan oleh Institut Petroleum Amerika Syarikat (AI) pada lewat hari Selasa menunjukkan kenaikan 9.2 juta tong dalam stok petrol dalam minggu hingga 1 Disember dan peningkatan sebanyak 4.3 juta tong dalam inventori penyulingan termasuk diesel dan minyak tanah.

Persepsi stok minyak lebih tinggi menunjuk kepada permintaan lemah melampaui fakta bahawa inventori mentah jatuh sebanyak 5.5 juta tong kepada 451.8 juta, kata peniaga.

Di luar Amerika Syarikat, penganalisis mengatakan bahawa pemotongan bekalan yang diketuai oleh Organisasi Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan Rusia, yang dijangka berlangsung sepanjang 2018 membantu menaikkan harga Brent lebih dari 40 peratus sejak bulan Jun dan lebih daripada 130 peratus sejak Januari 2016 apabila mencapai paras terendah sejak 2003.

Dengan pengurangan bekalan itu sepanjang tahun 2018, para penganalisis menjangkakan harga minyak akan terus menyokong.

“Permintaan memberangsangkan dan kawalan bekalan akan menyaksikan harga Brent melonjak kepada AS$70 setong menjelang pertengahan tahun 2018,” kata Bank of America dalam tinjauan 2018.

Bagaimanapun, satu faktor yang menjejaskan usaha OPEC dan Rusia ialah peningkatan minyak syal oleh Amerika Syarikat.

Minyak syal telah menyaksikan kenaikan sebanyak 15 peratus sejak pertengahan 2016 kepada 9.68 juta tong sehari, hampir sama dengan pengeluaran Rusia dan Arab Saudi.

“Pengeluar syal akan terus menguasai pasaran,” kata Fawad Razaqzada, penganalisis di Forex.com. – MalaysiaGazette