Syamsul Alam

JAKARTA – Pengarah Huluan Pertamina, Syamsul Alam mencadangkan kerajaan Indoensia mengisytiharkan negara itu menghadapi krisis tenaga menandangkan kini ia adalah pengimport bersih minyak dan disusuli pengimport bersih gas selepas itu, lapor The Jakarta Post yang memetik laporan kompas.com.

Syamsul berkata, kini simpanan minyak dunia ialah 1.7 trilion tong manakala simpanan minyak Indonesia hanya 3.7 juta tong, kira-kira 0.2 peratus simpanan minyak global.

Jika kerajaan negara itu menyasarkan pertumbuhan ekonomi tahunan sebanyak lima peratus, ia perlu menggunakan bukan sahaja petroleum sebagai sumber tenaga utama tetapi juga gas asli, katanya.

Beliau menambah, ini kerana sumber tenaga boleh diperbaharui seperti solar, angin dan geotermal masih tidak memainkan peranan yang mencukupi dalam menjana tenaga negara itu.

“Kerajaan tidak perlu sembunyi keadaan (industri) minyak dan gas Indonesia,” kata Syamsul sambil menambah dengan tahap penerokaan gas asli semasa, Indonesia akan menjadi pengimport bersih menjelang 2023.

Beliau mendedahkan Indonesia mengeluarkan 800,000 tong minyak mentah sehari manakala loji penapisan minyak di negara itu berkeupayaan mengeluarkan 1 juta tong minyak sehari.

Akibatnya, kerajaan perlu mengimport 200,000 tong minyak sehari bagi mencapai pengeluaran optimum.

Negara itu menggunakan 1.4 juta tong minyak sehari. – Agensi