Home Ekonomi Dolar kukuh, harga minyak jatuh

Dolar kukuh, harga minyak jatuh

SINGAPURA – Harga minyak merosot dalam dagangan hari ini ekoran pengukuhan dolar Amerika Syarikat.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) berada pada AS$56.64 setong pada 0108 GMT, turun AS$0.05 sen dari harga terakhir dagangan.

Manakala niaga hadapan minyak mentah Brent, penanda aras antarabangsa susut AS$0.01 kepada AS$62.09 setong.

Peniaga berkata, harga yang lebih rendah ini disebabkan dolar yang lebih kukuh selepas meningkat 0.8 peratus pada bulan ini berbanding sekumpulan mata wang utama lain.

Pengukuhan mata wang dolar dilihat oleh ramai sebagai ‘brek’ kepada kenaikan harga minyak.

Ini kerana, pengukuhan mata wang itu menjadikan pembelian minyak lebih mahal bagi negara-negara yang menggunakan mata wang lain.

“Pengukuhan dolar Amerika Syarikat boleh bertindak sebagai masalah kepada komoditi,” kata Bank of America Merrill Lynch (BoAML) dalam tinjauan 2018.

Harga minyak telah melonjak dengan ketara antara bulan Jun dan Oktober dengan Brent mencatatkan kenaikan sekitar 40 peratus.

BoAML mensasarkan permintaan memberangsangkan oleh global dan kawalan bekalan akan menyaksikan kenaikan harga minyak mentah Brent kepada AS$70 setong menjelang pertengahan tahun depan.

Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (OPEC) dan Rusia telah mencapai kata sepakat untuk melanjutkan kawalan minyak sehingga akhir tahun depan.

Namun, usaha OPEC itu dijangka dijejaskan oleh pengeluaran minyak Amerika Syarikat yang menyaksikan kenaikan lebih daripada 15 peratus sejak pertengahan 2016 kepada 9.7 juta tong sehari.

Ia merupakan paras tertinggi sejak awal tahun 1970an dan menghampiri pengeluaran oleh Rusia dan Arab Saudi. – MalaysiaGazette