SPRM

IPOH – Wang tunai dalam pelbagai denominasi berjumlah kira-kira RM1 juta ditemui di dalam kotak logam milik bekas pegawai kanan polis di Taiping.

Selain wang, penguatkuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut merampas pelbagai barang kemas dari kediaman bekas ketua polis daerah yang berusia 59 tahun itu, lapor akhbar The Star.

Serbuan itu dibuat selepas penahanan seorang pegawai polis berpangkat ACP petang semalam kerana disyaki rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Turut ditahan ialah isterinya, berusia 54 tahun, dan seorang wanita berusia 34 tahun.

Menurut sumber, suspek dilaporkan menerima sejumlah RM70,000 daripada seorang ahli perniagaan wanita untuk majlis perkahwinan anak perempuannya.

Difahamkan wang tersebut telah dimasukkan sebanyak RM20,000 dan RM50,000 dalam akaun bank salah seorang ahli keluarga pada bulan Februari.

Semalam, seorang pegawai kanan polis berpangkat ACP antara tiga individu direman selama lima hari bagi membantu siasatan dipercayai berkaitan dengan kes rasuah.

Permohonan reman ke atas pegawai lelaki itu yang sebelum ini merupakan ketua polis daerah serta dua wanita dikemukakan SPRM di Kompleks Mahkamah Ipoh di sini.

Penahanan mereka susulan penubuhan sebuah pasukan siasatan untuk menyiasat penyebaran berunsur fitnah terhadap bekas ketua polis daerah berkenaan dan isterinya yang tular di media sosial.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette