KANGAR, 12 Dis -- Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man (kanan) membentangkan 'Bajet Negeri Perlis 2018' pada Mesyuarat Ketiga Penggal Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis yang Ketiga Belas hari ini. --fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA

KANGAR – Bajet Perlis 2018 dirangka dengan mengambil kira detik hati serta keperluan rakyat tanpa menganaktirikan mana-mana pihak, kata Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.

Beliau berkata kerajaan Barisan Nasional sentiasa bersifat konsisten dalam memastikan faedah daripada bajet yang dibentangkan akan membawa kemajuan kepada negeri demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

“Bertemakan ‘Memacu Pembangunan Negeri, Mengutamakan Kebajikan Demi Kesejahteraan Rakyat’, bajet 2018 Perlis memperuntukkan sejumlah RM257.33 juta bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

“Sebanyak RM164.52 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus dan RM92.81 juta untuk perbelanjaan pembangunan. Bajet kali ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM58.57 juta berbanding Bajet 2017,” katanya semasa membentangkan bajet itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks DUN di sini, hari ini.

Beliau berkata dengan anggaran hasil sebanyak RM103.04 juta bagi 2018 dan anggaran perbelanjaan mengurus (tanggungan dan bekalan) berjumlah RM175.03 juta, kerajaan negeri dianggarkan mengalami defisit sebanyak RM71.99 juta.- BERNAMA