[20:08, 12/12/2017] Nurul BARU: Keadaan sebuah bas ekspres dan kereta Perodua Viva yang terlibat dalam kemalangan yang meragut lima nyawa termasuk seorang bayi lelaki di Kilometer 178 persimpangan Melayu Raya, Segamat, Johor. Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor

SEGAMAT – Lima orang termasuk seorang bayi lelaki maut dalam satu kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dan kereta Perodua Viva di Kilometer 176 Jalan Johor Bahru – Seremban berdekatan persimpangan Kampung Melayu Raya di sini hari ini.

Difahamkan, semua mereka yang maut dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu terdiri daripada pemandu dan penumpang kereta Perodua Viva dan dipercayai mempunyai hubungan kekeluargaan.

Kereta Perodua Viva itu dikatakan dalam perjalanan dari arah Labis – Segamat manakala bas ekspres dinaiki 14 orang termasuk pemandu dalam perjalanan dari Terminal Bas Larkin Sentral ke Terminal Pengangkutan Awam Segamat.

Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Raub Selamat berkata, semua mangsa yang maut dan seorang lagi dilaporkan cedera parah telah dibawa ke Hospital Segamat dan identiti mangsa sedang dikenalpasti.

“Hasil laporan awal yang diterima empat mangsa maut di tempat kejadian manakala bayi lelaki berusia kira-kira tiga bulan meninggal dunia di hospital,” katanya.

Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta yang dinaiki mangsa hilang kawalan dan berpusing sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan bas itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Segamat, Mohd. Aizad Mamat, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 6.11 petang.

Menurutnya, selain bayi lelaki itu, mereka yang terkorban terdiri daripada seorang lelaki, seorang wanita, seorang kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki.

Sejurus menerima panggilan, katanya, sebuah jentera dengan kekuatan tujuh anggota dikejarkan ke tempat kejadian bagi mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit di dalam Perodua Viva. – MalaysiaGazette.