Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meluangkan masa melawat gerai pameran yang terdapat pada Program Global Entrepreneurship Community Summit 2017 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 12 NOVEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Social Impact Exchange (SIX) dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menyuburkan lagi budaya inovasi di negara ini.

Menurut Najib, SIX merupakan bursa ‘pay-for-impact’ pertama di Malaysia yang direka sejajar dengan bursa saham tradisional.

Ia bakal memberi fokus kepada membiayai organisasi-organisasi sosial atau SPO serta projek-projek itervensinya.

Inisiatif ini akan dilaksanakan secara bersama oleh Agensi Inovasi Malaysia dan MaGIC.

“Ini merupakan sebahagian daripada pelbagai inisiatif yang telah dilakukan kerajaan sejak saya mengambil alih pada 2009 dan Program Transformasi Ekonomi yang telah digariskan pada 2010 telah pun membuahkan hasil.

“Sejumlah 2.26 juta pekerjaan telah dicipta dan kita mengalami pertumbuhan yang sihat selama bertahun-tahun meskipun ketika dunia menghadapi kemerosotan,” katanya ketika merasmikan Sidang Kemuncak Komuniti Usahawan Global 2017 di sini hari ini.

Selain SIX, Najib juga melancarkan Futurise Centre yang akan menempatkan Makmal Inovasi Teknologi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Asia Tenggara serta stesen radio keusahawanan pertama di Internet, eFM yang dipacu oleh Global Enterprenuership Monitor (GEM).

Pada majlis sama Perdana Menteri turut melancarkan buku yang ditulis oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau bertajuk Komunikasikan Sains, Tulus, Intergriti Demi Kesejahteraan Rakyat.

Buku yang diterbitkan dalam Bahasa Melayu dan Inggeris itu mengandungi koleksi penulisan Madius sejak lebih setahun lalu apabila beliau mula menyedari kepentingan untuk menyampaikan hala tuju dan dasar kementerian kepada rakyat secara jelas.

Najib turut menyampaikan Anugerah Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2017.-MalaysiaGazette