Home Nasional Trump biadap, lebih 500 berarak ke Kedutaan AS

Trump biadap, lebih 500 berarak ke Kedutaan AS

Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dan pimpinan Pakatan Harapan menghadiri Himpunan Jerusalem bukan hak zionis di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. foto ADIB RAMLI, 15 DISEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Lebih kurang 500 orang termasuk penyokong Pakatan Harapan hari ini berarak dari Masjid Tabung Haji ke Kedutaan Amerika sebagai bantahan terhadap kenyataan Presiden Amerika, Donald Trump yang mahu mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Perarakan tersebut turut disertai Pengerusi Parti Probumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Mahathir Mohamad; Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu; Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail; Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah; Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Antara slogan yang dilaungkan sepanjang perarakan itu, “hidup Palestine”, “hancur Trump”, “hidup Baitulmaqdis”.

Mohamad Sabu dalam ucapannya menggesa negara-negara Timur Tengah yang mempunyai hubungan dengan Israel supaya memutuskannya sebagai solidariti kepada Baitulmaqdis.

“Maghribi dan beberapa negara Timur Tengah mempunyai hubungan dengan Israel. Sebagai bantahan, negara-negara ini mesti putuskan dulu hubungan dengan Israel”

Muhyiddin dalam ucapannya, menggesa semua pihak meneruskan bantahan terhadap Trump sehingga Palestin dibebaskan oleh cengkaman Israel.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada Himpunan Jerusalem bukan hak zionis di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. foto ADIB RAMLI, 15 DISEMBER 2017.

Katanya, tindakan yang dibuat oleh Presiden Amerika itu merupakan satu bentuk penghinaan terhadap hak asasi negara Palestin.

“Kita berhimpun petang ini untuk menyatakan kebencian dan bantahan kita terhadap kenyataan Trump yang bertentangan dengan keputusan-keputusan yang dibuat oleh PBB.

“Tindakan ini kita ingatkan sebagai tindakan biadap terhadap negara Palestin.” – MalaysiaGazette