Bristol City memalukan juara bertahan, Manchester United 2-1 dalam saingan suku akhir Piala Liga pagi tadi. Foto www.mirror.co.uk

LONDON –  Pasukan Liga Kejuaraan, Bristol City ibarat berada di puncak dunia bola sepak selepas mengejutkan Manchester United dalam saingan suku akhir Piala Liga menerusi kemenangan 2-1 di laman sendiri, pagi tadi.

Kejayaan itu sangat manis kerana mereka menyingkirkan United sebagai juara bertahan yang dibarisi ramai pemain terbaik dunia.

Namun Bristol City akan berdepan satu lagi pasukan dari Manchester di peringkat separuh akhir iaitu Manchester City.

Dalam perlawanan itu, Bristol yang beraksi penuh semangat mengejutkan pelawat menerusi ledakan Joe Bryan pada minit ke-51 untuk menewaskan Sergio Romero.

Namun United menyamakan kedudukan tujuh minit kemudian menerusi sepakan percuma Zlatan Ibrahimovic.

Ketika aksi dilihat bakal diheret ke masa tambahan, Korey Smith muncul wira tuan rumah apabila memanfaatkan kelekaan pertahanan United untuk memastikan Bristol mara peringkat seterusnya.

Sementara itu, dalam satu lagi aksi separuh akhir nanti, Chelsea akan bertemu Arsenal. – MalaysiaGazette