KUALA LUMPUR: Indeks Pelopor (IP), yang memantau prestasi ekonomi ke hadapan dan Indeks Serentak (IS), mengukur aktiviti ekonomi semasa, meningkat pada Oktober 2017 berbanding bulan sebelumnya.

Dalam kenyataannya hari ini, Jabatan Perangkaan Malaysia berkata, IP mencatatkan pertumbuhan 0.2 peratus pada Oktober 2017 kepada 120.1 mata berbanding 119.9 mata pada September 2017.

Sebahagian besarnya didorong oleh penawaran wang benar (0.4 peratus) dan bilangan syarikat baharu berdaftar.

“Perubahan tahunan IP meningkat sebanyak 3.2 peratus berbanding 2.5 peratus yang direkodkan pada September 2017,” katanya.

Sementara itu, IS meningkat 0.5 peratus pada Oktober lalu, susulan peningkatan tiga komponen iaitu Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit (0.4 peratus), Nilai Caruman Benar kepada KWSP (0.1 peratus) dan Kapasiti Penggunaan dalam Sektor Pembuatan (0.1 peratus).

Ia berkata perubahan tahunan IS tumbuh 3.5 peratus pada bulan yang sama.

“Pada masa yang sama Indeks Difusi bagi IS mencecah 100 peratus, manakala IP kekal pada 85.7 peratus, yang menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia akan kekal menggalakkan antara Februari dan April 2018,” katanya. – MalaysiaGazette