KUALA NERUS – Ekoran isu transaksi pindah milik tanah milik FELDA baru-baru ini, Majlis Belia FELDA Wilayah Terengganu membuat laporan polis.

Setiausaha Agung Majlis Belia FELDA Malaysia, Mohd Syahrizal Md Yusof, berkata laporan tersebut dibuat mewakili suara lebih 7,400 peneroka 20 tanah rancangan Felda di kawasan Willayah Timur.

Tambahnya, ia juga dalam masa yang sama merupakan desakan agar pihak bertanggungjawab terhadap isu penyelewengan ini diheret ke muka pengadilan, selain mengembalikan hak tanah itu kepada pengurusan FELDA.

“Kami berharap kes ini segera disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malasia (SPRM), sebelum tindakan lanjut dibuat bagi membolehkan FELDA mendapat kembali hak milik tanah strategik berkenaan.

“Tindakan segera ini diharap dapat menyelesaikan isu kehilangan tanah itu secepat mungkin kerana mahu pihak yang bertanggungjawab terhadap penyelewengan dibawa ke muka pengadilan,” katanya kepada media selepas mengadakan bantahan dan laporan di Balai Polis Gong Badak hari ini.

Menurutnya lagi, Majlis Belia FELDA Wilayah Terengganu menyokong penuh keputusan Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad untuk mengambil tindakan undang-undang, terhadap pemaju Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) dan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, sebagai agensi yang bertanggungjawab meluluskan pindah milik tanah itu. -MalaysiaGazette