Orang ramai di Los Angeles melakukan demonstrasi di lapangan terbang bagi membantah larangan perjalanan oleh Donald Trump. foto Agensi

WASHINGTON – Mahkamah Rayuan Amerika Syarikat berkata larangan perjalanan ke atas enam negara, majoritinya penduduk Islam tidak boleh terpakai kepada individu-individu yang mempunyai hubungan kuat di negara tersebut.

Larangan perjalanan itu dibuat oleh Presiden Donald Trump sejak mula menerajui pentadbiran Amerika Syarikat.

Mahkamah itu berkata, keputusan tersebut akan ditangguhkan sementara menunggu keputusan mengenai larangan perjalanan terbaru oleh Mahkamah Agung Amerika Syarikat.

Panel tiga hakim daripada Mahkamah Rayuan mendengar injunksi daripada Mahkamah Rendah Persekutuan mengenai hubungan bona fide yang boleh dipercayai dengan Amerika Syarikat.

Meskipun Trump membuat kuasa untuk melaksanakan kemasukan imigran ke Amerika Syarikat tetapi ia masih mempunyai had.

“Kami menyimpulkan bahawa arahan proklamasi presiden sekali lagi melebihi skop kuasa yang diwakilinya,” kata panel itu.

Larangan itu mensasarkan warga Chad, Iran, Libya, Somalia, Syria dan Yaman.

Trump turut melarang kemasukan warga Korea Utara dan peruntukan itu dibenarkan dikuatkuasakan.

Trump mempertahankan larangan perjalanan itu diperlukan untuk melindungi Amerika Syarikat daripada keganasan.

Hawaii, bagaimanapun, mencabar larangan itu di mahkamah dan Hakim Persekutuan Honolulu mengatakan larangan tersebut melampaui kuasa Trump di bawah undang-undang imigresen. – MalaysiaGazette