Guilherme de Paula

KUALA LUMPUR – Penyerang handalan Kuala Lumpur, Guilherme de Paula berazam mendapatkan lebih banyak gol untuk pasukan itu pada kejohanan bola sepak Liga Super musim depan.

Pemain Brazil berusia 31 tahun itu, yang menjaringkan 27 gol untuk meraih anugerah Kasut Emas pada Majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan baru-baru ini, yakin dapat mencapai sasaran itu dengan kehadiran dua lagi pemain Brazil dalam pasukan berkenaan.

Beliau yang juga dikenali sebagai ‘The Hawks’, telah mendapatkan khidmat bekas pemain Selangor Junior Aparecido serta pemain tengah Sarawak Paulo Josue, selain beberapa bekas pemain kebangsaan seperti Indra Putra Mahayuddin dari Kelantan dan Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak dari Perak untuk menghadapi saingan pada musim depan.

“Saya berharap dapat meneruskan prestasi cemerlang dengan Kuala Lumpur pada musim depan dan membantu pasukan ini mencapai kedudukan lebih baik, walaupun cabarannya tentu lebih sengit berbanding dalam Liga Premier,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mengulas tentang anugerah Kasut Emas yang dimenanginya, de Paula, yang pernah bermain untuk Selangor dan PDRM, berkata dia mendedikasikan trofi itu kepada keluarganya, rakan sepasukan dan pihak pengurusan yang banyak menyokongnya.- BERNAMA