Shahrir Abdul Samad.

KUALA LUMPUR – Tindakan yang diambil oleh Felda untuk mendapatkan semula tanah di Jalan Semarak dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kata Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Reaksi Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Tan Sri Shahrir Abdul Samad ketika bercakap kepada media mengenai penjualan tanah FELDA di Jalan Semarak di Menara FELDA, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 21 DISEMBER 2017

Pengerusi Felda itu berkata setiap peringkat langkah diambil oleh agensi peneroka tersebut dimaklumkan kepada Najib dan juga Peguam Negara, malah nasihat perundangan juga diberikan Peguam Negara sebelum memulakan usaha mengambil semula hak milik tanah di Jalan Semarak itu.

“Kita tidak gopoh dan Perdana Menteri dimaklumkan di setiap peringkat dan akhirnya setelah mendapat nasihat Peguam Negara, Perdana Menteri bersetuju dengan tindakan yang dicadang oleh FELDA,” kata beliau dipetik laman portal BNBBC hari ini.

Menurut Shahrir, isu pemindahan tanah FELDA di Jalan Semarak berlaku pada Disember 2015 dan November 2016 di mana yang terakhir itu dua bulan sebelum beliau jadi Pengerusi dan langkah diambil kali ini adalah yang terakhir untuk membetulkan masalah dihadapi agensi itu.

“Tetapi isu pembelian harta di London (mahu pun oleh FELDA dan FIC) telah berlaku sebelum pindahmilik tanah di Jalan Semarak dalam tahun 2013 dan 2014,”.

“Jadi tumpuan saya mestilah kepada isu yang lebih awal kerana itu cara saya bekerja. Dan saya lihat isu pindahmilik secara fraud ini sebagai isu terakhir dalam usaha saya mahu membetulkan FELDA dan membawa ia balik ke asal sebagai agensi terunggul,” katanya.

Pada 12 Disember lalu, Felda membuat laporan polis berhubung kemungkinan berlaku penipuan dalam urusan penukaran hak milik tanahnya di Jalan Semarak oleh syarikat Synergy Prominade Sdn Bhd.

Shahrir memaklumkan pihaknya mendapat maklumat urusan berkenaan sebaik sahaja dilantik pada Januari lalu. – MalaysiaGazette