Ketua PPBM Bahagian Ampang, Zulkifly Mohamad bercakap pada sidang akhbar mengenai warga emas tinggalkan parti UMNO dan PAS di Bandar Baru Ampang, Ampang. foto FAREEZ FADZIL, 29 DISEMBER 2017

AMPANG – Tidak ada individu yang paling layak selain Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri bagi Pakatan Harapan (PH), kata seorang pemimpin akar umbinya.

Ketua Bahagian PPBM Ampang, Zulkifly Mohamad berkata, pengalaman mentadbir negara selama 22 tahun, bekas perdana menteri merupakan calon terbaik untuk membawa negara ke landasan yang betul.

“Sebenarnya calon yang paling layak kalau tanya rakyat Malaysia memang beliau (Mahathir).

“Satu pengalaman beliau mentadbir negara, saya tak nampak ada calon yang lebih mendahului Tun Mahathir dalam soal ini soal ini,” kata beliau semasa sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada pengundi warga emas di Lembah Jaya hari ini.

Malah, Zulkifly menyifatkan Mahathir seorang pemimpin yang berkaliber kerana memiliki strategi politik bahkan PH sendiri meletak bekas perdana menteri itu sebagai pengerusi mereka.

“Dan kita nampak Tun mempunyai strategi kalau tidak takkan beliau dijadikan pengerusi PH.

“Kenapa Tun M dijadikan pengerusi, kerana saya percaya gelombang yang dibawa Tun M terhadap rakyat,” ujarnya lagi.

Beliau juga berharap isu berhubung calon Perdana Menteri tidak lagi menjadi pertikaian lagi kerana keputusan pimpinan atasan PH sudah dimuktamadkan untuk menamakan Mahathir..

Blok pembangkang dikatakan bakal menamakan Mahathir sebagai calon Perdana Menteri sementara sebelum kemudiaannya memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini meringkuk dalam penjara untuk menjawat jawatan penting tersebut. – MalaysiaGazette