Muhyiddin mendesak kerajaan mengundang pasukan pemantau pilihan raya bebas daripada Sekretariat Komanwel dan PBB memantau perjalanan PRU-14.

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin mendesak supaya gabungan pembangkang, Pakatan Harapan (PH)  membuat keputusan mengumumkan calon Perdana Menteri (PM) mereka sebelum PRU-14.

Muhyiddin berkata, tidak ada pilihan lain dan PH perlu segera memberitahu orang ramai calon PM bagi mengelakkan berlaku tanda tanya dalam kalangan pengundi yang juga mendesak untuk perkara yang sama.

“Tidak ada pelan B, (yang ada) pelan A satu saja iaitu mesti umum (calon perdana menteri) dan mesti diumumkan sebelum pilihan raya,” beliau dipetik berkata dalam wawancara The Malaysian Insight.

Esok, PPBM akan mengadakan mesyuarat agung mereka buat pertama kali dan isu calon PM dijangka antara yang bakal menjadi topik panas.

Tegas Muhyiddin, perkara itu tidak boleh menjadi rahsia ditambah lagi apabila rakyat sendiri yang mahu mereka menamakan calon PM.

“Yang ditanyakan oleh orang ramai, kalau ya kamu mahu jadi kerajaan, siapakah perdana menteri kamu?”.

“Suara rakyat ini tidak boleh kita pendamkan atau kita abaikan. Bagi saya yang penting bukan parti kita, yang penting apa rakyat mahu,” terang beliau. – MalaysiaGazette