Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media sambil diiringi pimpinan pakatan harapan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Menara Yayasan Selangor. foto IQBAL BASRI, 04 JANUARI 2018

PETALING JAYA – Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan PKR meletakkan syarat kepadanya untuk menjadi perdana menteri sementara.

Bahkan beliau memberitahu, tidak pernah maklum tentang perkara tersebut sebelum ini.

“Terima kasih di atas maklumat itu. Saya tak pernah dengar lagi, sekarang saya ketahui dari anda,” katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Ibu Pejabat PPBM.

Beliau terdahulu diminta mengulas ura-ura bahawa PKR menerusi satu mesyuarat biro politik baru-baru ini telah menetapkan beberapa syarat kepada Dr. Mahathir yang antaranya membebaskan segera Anwar dan kemudian melantiknya sebagai perdana menteri baru dalam masa enam hingga 12 bulan selepas mengambilalih kuasa.

PKR juga juga mahu Dr. Mahathir berjanji bahawa beliau hanya akan menjadi perdana menteri sementara sehingga Anwar mengambil alih.

Dr. Mahathir selain itu perlu menandatangani syarat-syarat yang dikemukakan oleh PKR tersebut.

Tindakan PKR itu kemudiannya mengundang amarah PPBM.

Naib Presiden PKR, Xavier Jayakumar bercakap kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Menara Yayasan Selangor. foto IQBAL BASRI, 04 JANUARI 2018

Dalam pada itu Naib Presiden PKR, Xavier Jayakumar ketika ditemui turut menafikan partinya meletakkan syarat seperti yang didakwa.

Sebaliknya beliau memberi jaminan bahawa keputusan mengenai calon perdana menteri yang akan diumumkan kelak adalah hasil persetujuan daripada PKR.

“Tidak… Tidak ada apa-apa syarat yang diletakkan. Kita akan umumkan pada 7 Januari dan pada masa itu akan ada semua pengumuman.

“Kalau diumumkan nanti bermaksud PKR akan bersetuju dengan semua,” katanya. -MalaysiaGazette