Pelbagai petanda imengukuhkan jangkaan bahawa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan mengambil tempat pada Mac atau April. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) telah menerima arahan untuk melakukan persiapan pilihan raya dalam tempoh tiga bulan akan datang.

Selain itu, beberapa projek kerajaan juga mula membuka tender baru-baru ini dan hasilnya dijangka dapat dinikmati rakyat pada Mac atau April depan.

Pelbagai petanda itu, menurut laporan Nanyang Siang Pau, mengukuhkan jangkaan bahawa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan mengambil tempat pada Mac atau April.

Akhbar itu melaporkan, parti komponen BN telah menerima arahan pada awal bulan ini daripada pusat supaya melaksanakan segala persiapan pilihan raya dalam tempoh tiga bulan.

“Melainkan ada perkara kecemasan, jika tidak ia akan berlaku dalam tempoh tiga bulan.

“Walaupun ia boleh diawalkan, tetapi sepatutnya selepas sambutan Tahun Baharu Cina,” kata sumber.

Sambutan Tahun Baharu Cina 2018 jatuh pada 16 Februari dan perayaan itu secara tradisinya disambut selama 15 hari iaitu berakhir dengan Chap Goh Mei pada 2 Mac.

Musim melawat kubur masyarakat Cina pula jatuh antara 26 Mac hingga 15 April dan parti pembangkang menjangkakan BN akan mengelak tarikh-tarikh ini untuk mengadakan pilihan raya.

Keadaan itu, menurut pembangkang, adalah bertujuan mengelakkan mereka yang bekerja di bandar untuk mengundi semasa mereka balik kampung untuk melawat kubur. Pengundi-pengundi di bandar dilihat sebagai lebih cenderung menyokong pembangkang.

 “Mereka akan balik dari bandar ke kampung pada Tahun Baharu Cina, tarikh balik kampung seterusnya ialah untuk melawat kubur.

“Jika pilihan raya diadakan sebelum dan selepas musim melawat kubur, ramai orang bandar dijangka tidak akan balik kampung semata-mata untuk mengundi,” kata penganalisis dari pembangkang. – MalaysiaGazette