Gambar-gambar individu yang masih dicari bagi kes pembunuhan seorang lelaki di stesen minyak Shell, Taman Pelangi di Johor Bahru pada 17 Disember tahun lepas. Foto: PDRM

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menuduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru dua individu yang terlibat dengan kes pembunuhan kejam seorang lelaki di sebuah stesen minyak Shell di Taman Pelangi, Johor Bahru pada 17 Disember lalu.

PDRM dalam satu kenyataan memberitahu, tuduhan terhadap kedua-dua individu terbabit yang masing-masing berusia 19 dan 23 tahun akan dilakukan esok.

“Kedua-dua mereka dituduh melakukan jenayah itu bersama sembilan lagi individu yang masih bebas,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua mereka yang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu berdepan hukuman mati jika disabit dengan kesalahan.

PDRM turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung sembilan lagi suspek yang dicari agar melaporkan kepada pihak berkuasa agar tindakan dapat diambil. – MalaysiaGazette