Bekas Exco Pemuda PPBM, Muhammad Syazwan Ahmad Zainal bercakap pada sidang media mendesak ROS mengambil tindakan keatas PPBM di Pandan Indah, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 12 JANUARI 2018

KUALA LUMPUR – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) didesak supaya mengambil tindakan tegas terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ekoran pelanggaraan kerana mengadakan perhimpunan agung tahunannya akhir tahun lepas.

Langkah itu perlu diambil dalam masa terdekat, sebelum satu perhimpunan protes diadakan di pejabat pertubuhan itu, kata bekas exco PPBM, Muhammad Syazwan Ahmad Zainal.

Menurutnya, perhimpuan yang diadakan itu telah melanggar perlembagaan, yang mana tidak ada perwakilan yang sah dipilih di peringkat bahagian.

“Saya sendiri sebagai exco tidak mendapat sebarang surat untuk menghadiri mesyuarat di peringkat bahagian.

“Bagaimana boleh diadakan perhimpunan agung di peringkat kebangsaan sedangkan tiada mesyuarat di peringkat bahagian.

“Ini sudah bercanggah dengan Fasal 12 Perlembagaan PPBM mengenai perhimpunan agung itu.

“RoS perlu tegas dan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak. Jika pucuk pimpinan PPBM telah melanggar perlembagaan dalam menganjurkan perhimpunan itu, kami mendesak agar RoS ambil tindakan secepatnya,” katanya pada sidang media di Pandan Indah di sini hari ini.

Syazwan berkata, mereka sebagai ahli dalam parti tersebut berhak untuk mengetahui status perhimpunan itu sama ada sah atau tidak berdasarkan perlembagaan.

Dalam pada itu, beliau turut mendesak ahli khusus pemuda PPBM terus bangkit menentang sebarang ketidak adilan dan kronisme yang berlaku di dalam parti tersebut.

Pada 30 Disember tahun lalu, PPBM mengadakan AGM pertama yang dihadiri 941 perwakilan daripada 137 bahagian di Pusat Konvensyen Ideal, Shah Alam selepas diberikan amaran oleh RoS.

Sebelum ini, RoS memberi amaran kepada Bersatu kerana melakukan tiga kesalahan iaitu tidak mengadakan mesyuarat agung tahunan, menubuhkan sayap Pemuda dikenali sebagai Armada dan menangguhkan mesyuarat agung tanpa peruntukan dalam perlembagaan parti sehingga boleh menyebabkan parti itu dibatalkan. – MalaysiaGazette