PKNS FC menandatangani dua pemain import baharu iaitu Zac Anderson dari Australia (kanan) dan Jonatan Leonel Acosta (Argentina). Foto Facebook PKNS FC.

KUALA LUMPUR – Bekas pemain pertahanan import Kedah, Zac Anderson kini menjadi milik pasukan PKNS FC bagi menguatkan benteng pertahanan pasukan itu dalam saingan Liga Super musim ini.

Laman Facebook rasmi PKNS FC mengesahkan kemasukan pemain dari Australia itu bersama pemain import dari Argentina, Jonatan Leonel Costa.

Sebelum ini, Zac dikhabarkan bakal menyertai pasukan Sarawak bagi menghadapi saingan Liga Premier 2018.

Zac yang memiliki ketinggian 1.91m memulakan kariernya dengan Gold Coast United pada 2009. Pemain ini pernah beraksi dengan beberapa lagi kelab Australia sebelum berkelana ke UAE.

Walaupun selesa bermain sebagai pemain bek tengah, dia juga boleh beraksi di mana-mana posisi bertahan termasuk tengah bertahan dan bek kiri serta kanan.

Tahun lalu, bekas pertahanan Kedah tersebut mengalami kecederaan pinggul selama hampir dua bulan dan dia terpaksa melupakan perlawanan akhir Piala FA yang menyaksikan Sang Helang muncul juara selepas menewaskan Pahang.

Selepas itu dia telah pulang ke Australia untuk mendapatkan rawatan dari doktor pakar mengenai kecederaan yang dialami beliau.

Hasilnya dia kini telah pun kembali pulih. – MalaysiaGazette