Ketua Barisan Nasional Parlimen Bandar Tun Razak merangkap Pengerusi Yayasan Pendidikan Kawasan Bandar Tun Razak, Datuk Chew Yin Keen bercakap ketika sesi sidang media pada Program Penyampaian Deposit SSPN1M di Jalan Ikan Emas, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 21 JANUARI 2018

KUALA LUMPUR – MCA Bandar Tun Razak tetap yakin kerusi itu akan kekal miliknya berdasarkan kepada status quo pada pilihan raya umum lalu.

Menurut Ketua Barisan Nasional (BN) Bandar Tun Razak, Datuk Chew Yin Keen, kerusi itu sudah ditandingi oleh komponen BN itu sebelum ini namun segala keputusan adalah dibawah kuasa BN Pusat untuk menentukan parti mana yang akan diberikan kerusi itu kali ini.

“Saya sebagai pengerusi MCA Bandar Tun Razak, kita akan bertanding di Parlimen ini tetapi apa keputusan akan diputuskan oleh BN Pusat.

“Ini adalah kawasan yang diberikan kepada MCA setakat ini, apa perubahan peringkat pusat akan umumkan,” katanya dalam sidang media selepas memberikan sumbangan Deposit Simpanan SSPN1M anjuran Yayasan Pendidikan Kawasan Bandar Tun Razak sebentar tadi.

Ujar Yin Keen, keputusan muktamad tentang itu hanya akan diputuskan kepimpinan tertinggi BN dan berharap tidak akan berlaku perbalahan antara komponen parti itu kelak.

“Bagi ahli politik seperti saya, Datuk Rizalman (UMNO Bahagian), dan Timbalan Pengerusi MCA Bandar Tun Razak, Eng Chun Hwa, semua minat untuk jadi calon, siapa yang tidak minat?

“Jadi yang penting kepimpinan pusat BN ada cara tertentu untuk menentukan siapa calon yang bertanding di setiap kawasan. Jadi memang setiap kawasan sama bukan sahaja di Bandar Tun Razak,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, kepimpinan tertinggi BN pastinya ada cara dalam memastikan parti itu dapat merampas kembali kerusi milik PKR itu.

“Pemimpin di peringkat pusat ada cara untuk tentukan sama ada kerusi ini ditandingi oleh mana-mana parti di bawah BN. Setakat ini Bandar Tun Razak diberikan kepada MCA untuk bertanding,” tambah Yin Keen.

Bandar Tun Razak disandang bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang kini menjadi Ahli Parlimen Bebas.

Terdapat perbalahan diantara parti komponen BN di kerusi Bandar Tun Razak pada Pilihan Raya Umum ke 14 apabila MCA tidak mahu melepaskan kerusi terbabit apabila UMNO mendesak untuk mewakili Bandar Tun Razak.

Ketua UMNO Bahagian, Datuk Rizalman Mohktar sebelum ini berkata, MCA yang bertanding di sini sejak lima penggal lalu, namun kebanyakan pengundi Melayu mahu UMNO mengambil alih kerusi berkenaan. -MalaysiaGazette.

Saya tak minta pilih calon UMNO kalau tak boleh menang