Bekas Pengasas Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saadudin bercakap pada sidang media mengenai saman fitnah atas tuduhan menerima RM7 juta dari UMNO di Bangi, Selangor. foto IQBAL BASRI, 13 OKTOBER 2017.

KUALA LUMPUR – Seorang bekas pengasas Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad dipergunakan untuk sekadar memenangi pilihan raya umum (PRU) dan bukan untuk membawa perubahan yang mereka janjikan.

Bekas ketua srikandinya, Anina Saadudin berkata, retorik perubahan yang dilaungkan blok pembangkang, Pakatan Harapan tidak masuk akal apabila gagal menawarkan calon Perdana Menteri yang lebih segar sebaliknya terpaksa meletak seorang pemimpin lama berusia 93 tahun.

“Saya kasihan dengan Tun, dipergunakan oleh mereka (pembangkang) untuk diangkat sebagai calon Perdana Menteri untuk memenangkan pilihan raya sahaja

“Mereka hanya nak memang pilihan raya, gunakan Tun bukan nak bawa perubahan… kalau betul Pakatan Harapan nak bawa perubahan, kemukakan calon yang segar,” kata beliau dalam wawancara bersama sebuah NGO baharu Empirical Malaysia dalam Facebook.

Anina yang juga Presiden Empirical berkata, PPBM bukan sebuah parti dominan dalam gabungan Pakatan Harapan, malah mereka terpaksa dan berlembut dengan rakan-rakan parti pembangkang lain yang lebih lama menentang kerajaan Barisan Nasional.

“PPBM tidak menjadi parti dominan dalam PH, sebaliknya ia dikudakan oleh pakatan pembangkang

“Ia menjadikan parti ini sebagai parti sampah… PPBM terpaksa menurut dan berlembut dengan kehendak parti-parti pembangkang lain,” ujarnya lagi.

Beliau turut mendakwa sepanjang pengalamannya berada dalam PPBM, isu agenda memperjuangkan hak keistimewaan orang Melayu antara topik yang jarang sekali dibincangkan.

“Sepanjang pengalaman saya dalam PPBM, kita tidak ada menyuarakan tentang hak keistimewaan orang Melayu, nak menjaga kepentingan orang Melayu, itu semua tak wujud.

“Dalam mesyuarat, aktiviti kita, gerakan kita tidak ada ke arah itu,” ujarnya. – MalaysiaGazette