Home Nasional Dadah: Farid Kamil mengaku tidak bersalah

Dadah: Farid Kamil mengaku tidak bersalah

Farid Kamil Zahari

PETALING JAYA – Pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil Zahari, 37 hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas pertuduhan memasukkan dadah jenis Tetra Hydrocannibol (THC) ke dalam badan, dua minggu lalu.

Pengakuan itu dibuat selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Nor Ariffin Hisham.

Farid Kamil didakwa atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badannya di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, 4.30 petang, 11 Januari lalu.

Pelakon filem Tombiruo didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang diwakili peguam Athari Bahardi manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fazeedah Faik.

Mahkamah membenarkan Farid Kamil diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan memerintah pasportnya diserahkan kepada mahkamah. – MalaysiaGazette