Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Rizal Faris Mohidden bercakap pada sidang media di pejabat Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Bangsar, Kuala Lumpur. foto IMRAN FAKHRI, 25 JANUARI 2018

KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) mensasarkan untuk memiliki satu juta ahli dalam tempoh tiga tahun menerusi pelan induk yang baru dilancarkan.

Presidennya, Rizal Faris Mohideen Abdul Kadir berkata, langkah itu merupakan usaha DPMM menggalakkan usahawan Bumiputera untuk memainkan peranan yang lebih dalam ekonomi.

Katanya, DPMM mempunyai keanggotaan kira-kira 6,000 usahawan di seluruh Malaysia dan 100,000 lagi ahli di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) yang merupakan organisasi bukan kerajaan yang memayungi ekonomi Melayu.

“Selepas mengambil alih kepimpinan tujuh bulan yang lalu, kami telah memulakan pertemuan dengan akar umbi usahawan untuk menyediakan laporan 100 hari kami.

“Dari situ, kami merancang pelan induk tiga tahun untuk menggerakkan ruang ke dalam pendekatan yang lebih inklusif dalam komuniti usahawan.

“Pertama sekali, kami akan memberi tumpuan kepada program kesedaran untuk mendidik usahawan tentang ekonomi digital. Kami menganjurkan pameran bergerak negara untuk melatih sehingga 20,000 usahawan mengenai cara mengguna pakai platform digital,

“Untuk ini, kami telah menubuhkan sebuah jawatankuasa teknologi digital untuk memantau kemajuan ekonomi digital dan menumpukan kepada pembangunan keupayaan usahawan Bumiputera untuk dapat masuk ke dalam ruang,” kata Rizal Faris menerusi sidang media hari ini.

Menerusi pelan induk berkenaan, DPMM telah membina 16 inisiatif untuk menggalakkan penyertaan usahawan Bumiputera yang lebih besar dalam komuniti perniagaan, terutamanya dalam platform digital.

Dalam sesi dengan media hari ini, DPMM memperkenalkan Rizal Faris sebagai presiden baharu yang mempunyai agenda untuk menetapkan hala tuju organisasi untuk merangkul sepenuhnya ekonomi digital.

Rizal juga mempunyai visi untuk mengintegrasikan semua dewan perdagangan daripada pelbagai kaum supaya mereka bekerjasama untuk memiliki struktur masyarakat usahawan kebangsaan yang jelas dalam persekitaran ekonomi semasa yang mencabar.

Ditubuhkan pada 1957, DPMM kini mempunyai 15 cawangan di seluruh negara, termasuk Putrajaya.

Objektif awal organisasi ini adalah membina ekosistem yang konsisten untuk menjana pemikir dalam kalangan usahawan Bumiputera bagi meneroka ekonomi baru.

“Saya dapat menjamin dalam masa tiga tahun, DPMM akan menjadi organisasi yang berubah, platform yang sesuai bagi usahawan untuk berhijrah ke dalam ekonomi digital,” kata Rizal. – MalaysiaGazette