Sekumpulan penganut agama Hindu melakukan ritual memecahkan buah kelapa sempena sambutan Thaipusam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Btu Caves, Selangor. foto SAFWAN MANSOR, 08 FEBRUARI 2017

PULAU PINANG – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan agama Hindu merayu penganut agama itu mengurangkan amalan memecah kelapa sempena perayaan Thaipusam kerana disifatkan membazir.

Pegawai Pendidikan CAP, N. V. Subbarow berkata, wang yang digunakan untuk memecahkan kelapa itu boleh disalurkan untuk memenuhi pelbagai keperluan sebahagian masyarakat India masih hidup di bawah paras kemiskinan.

Ujar beliau, pada tahun lalu sahaja, dianggarkan 350,000 biji kelapa dipecahkan sekali gus merupakan satu jumlah yang besar.

“Upacara bagi membayar nazar itu sepatutnya dilakukan dengan betul iaitu hanya memecahkan sebiji kelapa dan disertakan dengan kasih sayang selain mengambil kira pasaran kelapa yang kian meningkat saban tahun,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Persatuan Hindu Pulau Pinang, V. Palanisamy; Pengerusi Pertubuhan Hindhudharma Malaysia (Pulau Pinang), V. Nanda Kumar dan Naib Pengerusi Pertubuhan Hindu Sangam Malaysia (Pulau Pinang), A. Tharman.

Subbarow berkata, amalan memecah kelapa sempena Thaipusam secara besar-besaran juga boleh memberi kesan kepada bekalan tanaman itu yang semakin berkurangan ketika ini.

Menurutnya, bekalan kelapa dari Bagan Datoh, Perak ketika ini terjejas disebabkan kekurangan tenaga pekerja pemetik kelapa di samping perubahan cuaca yang tidak menentu sehingga memberi kesan kepada produktiviti tanaman kelapa.

“Sehubungan itu, saya menyeru penganut Hindu supaya mengikut amalan agama yang betul iaitu dengan berjimat dalam amalan memecah kelapa sekali gus menjadi contoh yang baik kepada generasi muda penganut agama Hindu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengawal harga kelapa yang sentiasa meningkat setiap kali perayaan Thaipusam.

Ujar beliau, tinjauan pihaknya mendapati terdapat peniaga yang menjual sebiji kelapa sehingga RM4.50 sebiji sempena Thaipusam berbanding hanya RM1.50 sebiji pada hari biasa.