Datuk Nur Jazlan Mohamed

JOHOR BAHRU – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang berusaha untuk membantu bekas banduan di negara ini dalam mendapatkan pekerjaan yang stabil demi memberi peluang kedua kepada mereka.

Timbalan Menterinya Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata langkah itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Penjara bagi memastikan golongan terbabit dapat meneruskan kehidupan yang lebih baik dan tidak kembali terlibat dengan sebarang aktiviti jenayah.

Beliau berkata program parol turut dilaksanakan bagi membolehkan banduan yang berkelakuan baik dibebaskan lebih awal daripada tempoh hukuman penjara mereka.

“Mereka (banduan) yang terlibat dengan program parol terdiri daripada banduan yang terlibat dengan jenayah kecil-kecilan dan bukannya jenayah berat seperti membunuh,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung ke-35 Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Rahmat di sini, hari ini.

Beliau berkata program parol itu juga bertujuan mengurangkan jumlah banduan dalam penjara di seluruh negara memandangkan sehingga hari ini terdapat kira-kira 50,000 banduan, katanya.- BERNAMA