Jesse Lingard. Foto Metro.

MANCHESTER – Manchester United kini memiliki ‘Andres Iniesta Inggeris’ merujuk gelaran kepada Jesse Lingard yang diberikan oleh bekas jurulatih kelab, Rene Meulensteen.

Dia berpendapat, pemain berusia 25 tahun itu berada dalam prestasi terbaik untuk beberapa minggu kebelakangan ini dengan menjaringkan sembilan gol dalam 11 penampilan.

Lingard kini telah menjadikan dirinya sebagai pemain pilihan utama untuk Jose Mourinho.

Dia sebelum ini bergelut untuk menembusi skuad utama sejak membuat penampilan pertamanya pada 2014/15.

Namun persembahan dan jaringan gol yang hebat setakat musim ini menyaksikan dirinya menjadi pemain tetap untuk skuad utama United.

Meulensteen yang melatih Lingard semasa masih remaja percaya pemain itu berada dalam posisi begitu baik dan dapat menyesuaikan diri di Barcelona dengan bermain bersama pemain-pemain seperti Lionel Messi dan Neymar.

“Saya nampak begitu banyak persamaan dalam permainan mereka dan saya sentiasa percaya Jesse adalah Andres Iniesta Inggeris,” kata Meulensteen kepada Bleacher Report.

“Seperti Iniesta, dia mendapati peluang dalam setiap ruang dan dia sentiasa bergerak serta mempunyai kaki yang sangat baik. Satu-satunya perkara yang hilang sehingga kini adalah jaringan gol tetapi kini Jesse menjaringkan gol penting juga.

“Pada pendapat saya, anda boleh menerbangkan Jesse ke Barcelona, membiarkan dia bermain dalam posisi Iniesta dan dia pasti akan berasa selesa untuk melakukannya dan menyesuaikan diri. Dan dia melakukannya dalam Liga Perdana, yang mana lebih sukar daripada La Liga, jadi ianya kredit kepada Jesse.”

Meulensteen mengakui bukan hanya dia sahaja mengagumi Lingard apabila beliau melatihnya.

Bekas penyerang United, Ruud van Nistelrooy dan Diego Forlan juga menyaksikan potensi besar dalam diri Lingard. – MalaysiaGazette