Tun Dr Mahathir Mohamad. foto IMRAN FAKHRI, 30 JANUARI 2018.

PETALING JAYA – Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui wujudnya ketidakpuasan hati dalam kalangan ahlinya mengenai pembahagian kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan.

Menganggap kekecohan yang berlaku pada Sabtu lalu adalah masalah kecil, Mahathir turut menyedari bahawa Pakatan Harapan juga tidak boleh lari daripada kemelut tersebut.

“Ini hal kecil, ia dah selesai (Negeri Sembilan) ada sedikit ketidakpuasan hati. Bahagian yang dapat kawasan yang buat banyak bising. Bahagian PPBM yang tidak dapat kerusi tidak ada buat aduan,” katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Ibu Pejabat PPBM hari ini.

Katanya, kejayaan parti adalah berdasarkan cara menyelesaikan masalah seperti demikian.

“Tidak ada pertubuhan tidak menghadapi masalah, kejayaan atau tidak sesuatu pertubuhan ialah cara mereka selesai masalah, kalau tak boleh selesai tak payah jadi,” ujarnya.

Akibat tidak berpuas hati dengan pengagihan kerusi DUN sekumpulan ahli PPBM Negeri Sembilan Sabtu lalu membuat kecoh pada Konvensyen Pakatan Harapan.

Suasana panas tercetus apabila mereka menyuarakan bantahan secara terbuka melaungkan ‘boikot’, ‘mana hak kami’ dan ‘tak adil’ ketika Presiden Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mahu menamatkan ucapannya.

Menurut Ketua PPBM negeri itu, Mohd Sharul Anuar Abu Samah, parti itu hanya diberikan enam kerusi DUN yang dianggap kawasan berstatus hitam iaitu sukar untuk mencapai kemenangan keputusan pilihan raya umum.

Dalam pada itu, Mahathir menyifatkan kelewatan pendaftaran Pakatan Harapan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap rakyat untuk memilih parti mereka pada pilihan raya yang akan datang.

“Pendaftaran parti Pakatan Harapan sehingga hari ini tiada jawapan daripada RoS jadi kita dapati bahawa ini sengaja dibuat demikian supaya kita habiskan masa dan tidak dapat buat persiapan untuk pilihan raya umum kerana kita tidak tahu sama ada kita punya simbol diterima atau tidak dan kita tak tahu sama ada parti kita ini diiktiraf secara rasmi atau tidak.

“Saya berpendapat bahawa tindakan kerajaan macam ini adalah sesuatu penganiayaan kepada rakyat kerana dalam pilihan raya, rakyat tidak dibenar untuk memilih pemimpin mereka kerana pemimpin mereka tidak mendapat bertanding sebagai yang dikehendaki mereka,” katanya. – MalaysiaGazette