Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) terus melaksanakan pelbagai inisiatif penambahbaikan pada tahun ini bagi meningkatkan kecekapan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di samping meneruskan pelan perniagaan lima tahunnya Runway to Success (Rts2020).

Menurut Pengarah Urusannya, Datuk Badlisham Ghazali,  pertumbuhan trafik yang memberangsangkan, pengendali lapangan terbang itu perlu melakukan sesuatu bagi memastikan keselesaan setiap penumpang.

Antara inisiatif yang dilakukan adalah bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia untuk menyediakan kaunter umum di KLIA bagi mengurangkan tempoh berbaris terutama ketika waktu puncak.

KLIA juga katanya, turut melaksanakan langkah-langkah tegas untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di lorong pick-up dan drop-off dengan memasang penambat dan melaksanakan had masa dua minit kepada semua pemandu yang melalui lorong berkenaan.

“Kami mahu memastikan setiap penumpang mempunyai pengalaman yang menggembirakan di lapangan-lapangan terbang kendalian kami.

“Setiap perkara diambil kira. Contohnya, pada minggu lalu kami memasang tempat duduk yang selesa kepada penumpang yang mahu menggunakan perkhidmatan pertukaran antara terminal percuma di antara dua terminal.

“Kami juga mensasarkan untuk berkongsi progres projek jangka masa panjang seperti pemeriksaan teliti aero tren, kerja-kerja penyelenggaraan untuk landasan 3 dan peluasan lapangan-lapangan terbang secara berkala,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.-MalaysiaGazette