KUALA LUMPUR – Dalam usaha menjadi sebuah kumpulan yang mampu memahat tempat di industri musik Malaysia, Pitahati bakal muncul mengadakan sebuah konsert mini yang bertempat di Damansara Perdana Art Centre (DPAC) di sini Ahad ini.
Pitahati dalam satu kenyataan berkata, persembahan tersebut akan menampilkan beberapa perubahan terutamanya dari segi konsep visual, pencahayaan, idea lakon dan prop yang bakal mengiringi persembahan mereka.
“Sering menghasilkan sesuatu yang baru, bukan sahaja didalam lagu mereka, kami ingin meletakkan satu paras ukur dalam bidang seni persembahan.
“Dengan menjadikan persembahan mereka di Auditorium Muzium Negara, Kuala Lumpur dua tahun lalu sebagai titik permulaan, kami semakin serius dalam menyampaikan konsep keseluruhan album dalam bentuk visual persembahan.
“Justeru, lokasi DPAC dipilih hasil perancangan teliti oleh Pitahati sebagai permulaan 2018 kerana kami memerlukan tempat yang berlainan supaya mereka lebih ekspresif dan mempelbagaikan penyampaian mereka untuk memberi impak yang lebih terhadap penonton,” kata kenyataan itu.
Pitahati berkata, perbezaan persembahan kali ini adalah pada skala yang lebih besar dengan adunan dan pemilihan repertoire lagu-lagu daripada seluruh album yang ada disertai projection mapping yang diisi dengan reka cerita yang menarik.
Selain itu, kumpulan itu juga cuba mengisi dan mencipta konsep-konsep yang baru pada setiap lagu yang disampaikan.
Pada masa sama, konsert minit itu juga mungkin akan diselingi sedikit sentuhan lakon teatrikal (seni lakonan) yang akan dipersembahkan kepada para penonton yang hadir.
Pitahati kini dibarisi oleh Ilham, Zahar, Masrin, Hidayat dan Yasin sejak ditubuhkan pada tahun 2011.
Pitahati menitikberat unsur-unsur bunyian yang keluar dari instrumen masing-masing maka secara tidak langsung mengeluarkan karakter bunyi yang tersendiri.
Album kedua mereka itu lebih organik, tradisional dan punya nilai sastera yang tinggi, ringkas dalam penghasilan lagu tetapi padat dengan muzik yang berkualiti tinggi.
Untuk pembelian tiket, orang ramai boleh menghubungi Rahman Saharddin di talian 0149470290) atau Syamil (+60104034413).
Tiket berharga RM80 (Normal) dan RM75 (Mahasiswa atau Pelajar). Tempat adalah terhad kepada 200 tempat duduk sahaja. – MalaysiaGazette















