Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kegemaran rakyat Singapur terhadap durian merupakan hakikat yang dikenali ramai, tetapi tahukah anda bahawa penduduk kota singa itu kini turut meminati kaktus.

Nanyang Siang Pau melaporkan, semakin ramai penduduk Singapura meminati kaktus sebagai makanan sehingga permintaan untuk tumbuh-tumbuhan berduri itu juga melonjak.

“Ramai orang pada mulanya tidak mengetahui bahawa kaktus boleh dimakan,tetapi sekarang sudah ada orang memasak kaktus selepas mengetahui nilai khasiatnya,” kata seorang pengusaha kaktus.

Kaktus kini dilihat sebagai bahan makanan yang mampu membuang panas dan toksin, malahan membantu dalam mengatasi alahan kulit.

Presiden Persekutuan Persatuan Tabib Perubatan dan Akupunktur Malaysia, Huang Bao Guo bagaimanapun berkata, kaktus tidak sesuai dijadikan sebagai ubat.

Katanya, walaupun kaktus mempunyai nilai perubatan tersendiri, tetapi ia tidak harus dimakan secara berlebihan dan tidak sesuai dengan semua orang.

Menurutnya, kaktus boleh membuang panas dan toksin, membantu kurangkan gula darah dan kolestrol.

“Walau bagaimanapun, kaktus tidak sesuai dimakan oleh mereka yang mempunyai penyakit penghadaman, orang yang berbadan jenis ‘sejuk’, wanita mengandung, warga emas dan pesakit asma,” katanya kepada China Press. – MalaysiaGazette