Sebahagian barisan artis baru dan lama yang akan terlibat dengan Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2018 bergambar pada Majlis Pra Pelancaran Drama Festival Kuala Lumpur 2018 di Ara Damansara, Subang, Selangor. foto SAFWAN MANSOR, 06 FEBRUARI 2018

PETALING JAYA – Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) kembali buat kali kelima dengan mengekalkan objektif utamanya untuk mencungkil bakat-bakat baharu dan memberi peluang kepada anak-anak muda menimba ilmu bersama para panel berpengalaman dalam industri drama.

Menampilkan Syazuwan Hassan dan Pauline Tan sebagai duta, DFKL tahun ini juga disertai oleh Jason Chong dan Jason Kok sebagai panel yang akan berkongsi ilmu mengenai pengarahan dan pembikinan filem pada bengkel DFKL 2018.

Turut menyertai mereka sebagai panel adalah Fauziah Ahmad Daud, Erma Fatima, Datin Diana Danielle, Fasha Sandha, Sheila Rusly dan Shahrulezad.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Johan Ishak, segala peristiwa yang berlaku mencorakkan perjalanan hidup setiap individu, keluarga mahupun masyarakat.

“Ia seakan-akan sedang menyaksikan drama-drama kehidupan manusia yang merangkumi pelbagai ragam beraksi di kaca televisyen.

“Oleh itu, DFKL yang sentiasa tampil dengan tema berbeza pada setiap tahun telah mengambil inisiatif untuk memilih #MasaUntukDrama sebagai tema buat tahun 2018,” katanya.

Tambah beliau, komponen utama DFKL masih lagi mengekalkan penyertaan untuk pertandingan drama pendek peringkat awam dan sekolah menengah, pertandingan sesi kongsi (pembentangan idea), bengkel dan ujibakat lakonan.

Bagi menyemarakkan lagi DFKL 2018, katanya, orang ramai turut berpeluang untuk menyertai siri jerayawara DFKL yang bakal diadakan di dua lokasi berbeza pada Februari dan Mac ini.

Malam Anugerah DFKL 2018 merupakan kemuncak pengajuran kempen yang memartabatkan industri lakonan tanah air. – MalaysiaGazette