Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg diiringi Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (tiga kanan) serta yang lain menandatangani plak perasmian pada Majlis Perasmian Yayasan Sarawak, Pejabat Kuala Lumpur di Ampang, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 08 FEBRUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Sarawak dan kerajaan Persekutuan kini berada dalam fasa kedua bagi membincangkan isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata ketua menterinya, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Jelas beliau, perbincangan tahap itu kini memfokuskan  aspek perundangan dan ia merupakan susulan daripada hasratnya sebelum ini untuk mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Masih perbincangan fasa kedua yang membabitkan perundangan di antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri.

”Selepas daripada itu (hasrat untuk mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri) sekarang dalam proses perbincangan perundangan di antara negeri dan Persekutuan.

“Perbincangan sekarang adalah di antara Pejabat Peguam Negara dan Peguam Negeri Sarawak,” ringkas katanya kepada pemberita hari ini.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Beliau sebelum itu dilaporkan tidak berpuas hati dengan jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Syukri dan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman bagi membincangkan beberapa isu yang didakwanya tidak selari dengan tujuan MA63.

Justeru, Abang Johari telah menyuarakan hasratnya untuk  bertemu sendiri dengan Najib bagi membincangkan isu yang sama.

Terdahulu, Abang Johari merasmikan Pejabat Yayasan Sarawak Cawangan Kuala Lumpur di Ampang bersama isterinya Datin Amar Juma’ani Tuanku Bujang.

Turut hadir ialah Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar. -MalaysiaGazette.