Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas yakin masih ada peluang untuk mencipta kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata, walaupun Pas ditakdirkan bertanding di padang yang banyak kemuncup, tetapi masih mampu menang sebelum wisel penamat dibunyikan.

“Memang kita kurang selesa dengan kemuncup yang banyak di stokin, tapi kita kesuntukan masa. Kemenangan perlu diraih. Sementara kemuncup itu tidaklah memudaratkan, fokus pada pertandingan ini.

“Jangan terlalu memikirkan kekuatan pasukan lawan. Sebaliknya, fokus pada keupayaan dan peluang yang kita miliki untuk menempa kejayaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, inilah masanya untuk Pas mengerahkan seluruh tenaga setelah stamina dibina dalam pelbagai siri tamrin, usrah dan liqa fikri, sedangkan, strategi telah digarap melalui mesyuarat dan retreat yang diadakan.

Kata Nasrudin, Pas tidak lagi mempunyai untuk mempersoalkan strategi, pendekatan dan formasi gerak kerja kerana segalanya telah diputuskan.

“Kini detik kita bersama jurulatih merealisasikan visi dan misi perjuangan. Tapi hati-hati jangan sampai musuh berjaya mencederakan kita. Serlahkan semangat berpasukan. Usah bertelingkah di hadapan lawan, kelak ia menjatuhkan prestasi dan melunturkan motivasi perjuangan.

“Pertandingan akhir memang sengit. Penyertaan dalam kejohanan berprestij ini memang mewakili pasukan yang handal. Namun ingat, kita juga telah layak ke final. Tika kita telah sampai ke peringkat ini, kenapa tidak kita membawa pulang tropi juara itu,” katanya berkias. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast