Prasarana

KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana) dan SMRT Corporation Ltd. (SMRT) telah menerima Surat Tawaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Lembaga Pengangkutan Darat (LTA) Singapura bagi membentuk sebuah syarikat usahasama (JV) untuk mengendalikan Rangkaian Sistem Transit Johor Bharu-Singapura (RTS Link).

Prasarana dalam kenyataannya berkata, syarikat JV itu akan mereka, membina, membiayai, mengendali, menyelenggara dan memperbaharui aset-aset operasi RTS Link seperti tren, landasan dan sistem.

Pertukaran surat berkenaan adalah susulan daripada pemeteraian Perjanjian Dagangan Dua Hala RTS Link di antara kerajaan Malaysia dan Singapura semasa Pemukiman Ketua-Ketua Negara Singapura-Malaysia pada 16 Januari lalu.

Kedua-dua rakan kongsi syarikat JV berkenaan perlu berusaha untuk melaksanakan Perjanjian Usahasama dan membentuk syarikat JV sebelum 30 Jun 2018.

Perjanjian Konsesi dengan butiran terma menyatakan konsesi pertama mempunyai tempoh selama 30 tahun dijangka ditandatangani menjelang 30 September 2018.

RTS Link yang akan menghubungkan stesen Bukit Chagar di Johor Bharu dengan RTS Link stesen Utara Woodlands dijadualkan beroperasi menjelang 2024.

Ia mempunyai kapasiti membawa 10,000 penumpang sejam sehala dan sekali gus menambah kapasiti pengguna menyeberangi Tambak Johor seramai 60,000 orang ketika waktu puncak. – MalaysiaGazette