Home Dunia Zuma bakal hadapi undi tidak percaya

Zuma bakal hadapi undi tidak percaya

Jacob Zuma

CAPE TOWN – Parti pemerintah ANC akan meminta Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma meletak jawatan selepas beliau enggan melepaskan kedudukannya.

Keputusan itu dibuat selepas mesyuarat panjang oleh pemimpin-pemimpin kanan ANC.

Jika Zuma, 75, terus berdegil, beliau akan berhadapan undi di Parlimen.

Zuma memegang tampuk pemerintahan Afrika Selatan sejak tahun 2009 dan terlibat dalam pelbagai tuduhan rasuah tetapi kerap kali menafikannya.

Bagaimanapun, ANC masih belum secara rasmi mengesahkan rancangannya itu.

Zuma telah menolak tekanan untuk berhenti sejak Disember lagi ketika Cyril Ramaphosa menggantikannya sebagai pemimpin ANC.

Tidak jelas bagaimana Zuma akan bertindak balas terhadap permintaan rasmi untuk meletak jawatan, yang dijangka dikeluarkan pada hari Selasa.

Terdahulu, Ramaphosa meninggalkan mesyuarat jawatankuasa eksekutif nasional ANC untuk ke kediaman Zuma, yang mana beliau dikatakan akan memberitahu presiden untuk melepaskan jawatan.

Tahun lalu, Mahkamah Agung memutuskan Zuma akan berhadapan dengan 18 tuduhan rasuah, penipuan dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan perjanjian senjata tahun 1999.

Baru-baru ini, hubungan Zuma kepada keluarga Gupta – individu kaya yang dilahirkan di India, yang dikatakan mempengaruhi kerajaan telah menyebabkan popularitasnya berkurang.

Namun dakwaan itu dinafikan oleh kedua-dua pihak. – MalaysiaGazette