Syed Saddiq Abdul Rahman

PETALING JAYA – Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa bekas exco parti itu, Muhammad Hafiz Azhar terlibat dengan kekecohan pada forum Nothing To Hide dua tahun lalu.

Menurut beliau, kumpulan yang diketuai Muhammad Hafiz itu cuba untuk mendatangkan kecederaan terhadap Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Syed Saddiq mendedahkan, Muhammad Hafiz yang pernah disiasat oleh pihak polis berhubung kejadian itu bagaimanapun terus menyepikan diri tanpa sebarang perkembangan mengenai kesnya oleh pihak berkuasa berkenaan.

“Sampai ke hari ini kita tidak dengar apa-apa maklumat terhadap isu ini. Saya nak tujukan pertanyaan kepada PDRM dan tidak menyalahkan sesiapa. Saya harap pihak polis akan mengambil tindakan secepat mungkin,” katanya ketika diminta mengulas mengenai sebuah perhimpunan oleh bekas anggota PPBM yang akan diadakan di hadapan bangunan Pejabat Pendaftar Pertubuhan pada 22 Februari ini.

Perhimpunan yang diketuai oleh Muhammad Hafiz adalah sebagai mendesak RoS agar mengambil tindakanb tegas terhadap PPBM ekoran pelanggaraan kerana mengadakan perhimpunan agung tahunannya akhir tahun lepas.

Syed Saddiq berkata, mereka yang terlibat dengan Muhammad Hafiz merupakan pemakan dedak yang hanya pandai mengugut untuk mengadakan rusuhan.

Tambahnya, beliau mahu agar pihak berkuasa mendedahkan butiran mengenai siasatan terhadap Muhammad Hafiz itu yang kini dilihat semakin berani dengan tindakan itu. – MalaysiaGazette